Mengira Hari Usia Belog

Daisypath Happy Birthday tickers

March 8, 2011

Masalah Diri Ini. Takut Tegur. Nak Belajar. Ikhlas Tak?


Assalamualaikum.

Tatkala diri sentiasa melakukan kesilapan atas kekhilafan yg sememangnya fitrah kejadian manusia. Sekadar berkongsi dan memperingati pembaca dan diri saya sendiri akan lumrah kehidupan yg perlu kita hadapi ini. Penulisan ini adalah sekadar olahan semula melalui pengamatan peribadi dimana sebahagian artikel di ambil drpd iluvislam.com. terima kasih.

Kita tidak boleh lari daripada kesilapan dan kita juga tidak boleh lari daripada melihat kesilapan berlaku dihadapan mahupun dibelakang kita. Kadangkala diri terasa kecil dan tidak layak untuk menegur akan kesilapan orang lain. Siapalah diri ini dimata mereka yang ditegur. Besar sangat pangkat mahupun adakah cukup alim dan sudah mencerminkan diri sebelum menegur orang lain. Kadangkala juga kita takut untuk menegur atas sebab menjaga hati insan tersebut.

Bagaimanakah?

"Orang yang dapat menegur orang lain adalah orang yang sedia menerima teguran orang lain."

Ayat diatas adalah antara kata-kata cerdik pandai mengenai orang yang menegur dan ditegur. Teguran boleh berlaku di mana-mana, berlaku di dalam pemerintahan kerajaan, di dalam syarikat-syarikat, di dalam persatuan-persatuan, di sekolah.

Dalam rumahtangga juga berlaku, bapa menegur anak, isteri ditegur suami, dan lain-lain. Makna katanya teguran itu berlaku di mana-mana sahaja.

Membina dan Meroboh

Teguran boleh dibahagi kepada dua secara asasnya, teguran yang membina dan yang statik dan jumud. Manusia keseluruhannya mengharapkan teguran yang membina bukan yang statik. Tetapi tidak kurang juga yang tidak lansgsung suka ditegur.

Sifat manusia yang diketahui ialah, hanya bersedia ditegur apabila dia yang memerlukan teguran tersebut. Contohnya, Si A pergi ke Si B dan ingin meminta teguran atau nasihat, ketika itu apa sahaja yang dikatakan oleh Si B akan di dengari dengan berlapang dada.

Lain pula sekiranya seseorang yang tidak memerlukan teguran, tiba-tiba ditegur. Hanya setengah orang yang berjiwa besar sahaja yang boleh menerima teguran spontan tersebut, Manakala yang berjiwa kecil, akan terasa dan terus terseksa hati.

Orang yang Menegur

Manusia memang tidak pernah lari daripada melakukan kesalahan, yang berbeza hanya banyak dan sedikit. Tetapi biarlah orang yang cuba menegur tersebut adalah orang yang minimum kesalahannya.

Jangan jadi seperti ketam yang mengajar anaknya berjalan lurus. Sesuatu yang agak pelik apabila penagih dadah tegar mengajar atau menegur orang lain pergi ke masjid, walhal mereka sendiri masih terkontang kanting ditepi longkang dalam kotak.

Sebab itu kalau kita suka menegur, kita mesti pastikan teguran itu di tuju ke arah kita terlebih dahulu, kemudian baru ke orang lain.

Orang yang Ditegur

Teguran itu kebiasaannya bersifat membina, kerana apa yang tidak kita sedar kadang-kadang orang lain sudah sedar terlebih dahulu, persepsi kita lain, persepsi orang, lain. Sebab itu apabila ditegur, jangan terlalu cepat melenting dan menolak teguran tersebut. Kalau begitu, anda adalah orang paling rugi, kerana anda berpeluang membina diri anda tetapi awal-awal lagi anda sudah merobohkannya.

Kata Hukama, "Orang biasa akan marah apabila dikritik oleh orang lain, manakala orang yang mulia ialah mereka yang memperbaiki diri daripada kritikan orang lain. Seharusnya begini lah resam kehidupan kita".

Manusia memerlukan 'cermin' bagi bagi meneliti diri. Orang disekeliling adalah cermin bagi kita. Cuba bayangkan anda bercukur misai tanpa bercermin. Bukankah susah?

Ingat..

Setiap orang yang menegur pasti sedia juga ditegur. Ramai yang tidak mampu lakukan ini. Hanya suka menegur tetapi tidak pula suka ditegur. Sebab itu penting apabila menegur isyaratkan terlebih dahulu, teguran itu adalah terlebih dahulu untuk diri sendiri.

Ingat! Apabila anda menuding jari terhadap kesilapan orang lain, sebenarnya 3 jari anda telah menuding kepada diri anda sendiri. Itu adatnya.

Seterusnya, kita cuba mengaitkannya dengan unsur ikhlas. Manusia penuh dengan prasangka. Itulah sifat semulajadi. Namun, kadangkala prasangka ini boleh memudaratkan. Kita menuduh sesuatu walhal ianya tidak seperti yang disangkakan.

Dalam konteks hubungan sesama manusia, ramai yang masih keliru akan konsep ikhlas ini. Adakah ikhlas itu milik kita?

Ikhlas ialah kedudukan paling tinggi selepas iman. Ikhlas adalah rahsia Tuhan sehinggakan para malaikat pun tidak tahu dan yang empunya diri pun tidak dapat mengesannya. Ia juga adalah penentu samada amalan diterima atau ditolak.

Terdapat para sahabat yang apabila mendengar tentang ikhlas mereka akan menangis. Mereka berasa tidak selamat dan tidak mungkin dapat memperolehi Ikhlas kerana begitu tingginya nilaian untuk mendapat sifat ikhlas.

Islam tidak membenarkan seseorang mengaku ikhlas. Sesiapa yang mengaku ikhlas walaupun sebelum ini ikhlas maka secara automatik keikhlasannya terbatal.

Contoh-contoh yang dikatakan mengaku ikhlas ;

Membantu seseorang sambil berkata,

" Ambillah, saya ikhlas. "

Menolong seseorang tapi pertolongannya ditolak,

" Saya tolong awak ini ikhlas tetapi sedih kerana awak menolak. "

Dalam menulis surat kita selalu mengakhiri dengan tandatangan,

" Yang Ikhlas " atau " Yang Benar "

Dalam Islam, mengaku baik adalah salah. Tiada sesiapa yang mengetahui yang ikhlas sekalipun yang empunya diri. Tiada sesiapa yang berhak mengaku ikhlas. Cuma berusaha moga-moga jadi ikhlas dan moga-moga diterima Allah.

Erti Ikhlas :

Murni, bersih, jenisnya sahaja dan tidak bercampur jenis-jenis yang lain. Tidak dinodai seperti air yang tidak bercampur dengan sabun, tepung kerana apabila sudah bercampur dengan benda lain ianya sudah tidak tulen lagi.

Begitulah dalam beramal, solat, zakat, membaca Al-Quran, mengajar, berdakwah, menolong, motivasi, forum, ceramah, belajar semuanya semata-mata kerana Allah: kerana suruhan-Nya kerana keredhaan-Nya kerana arahan-Nya kerana mentaati-Nya kerana patuh pada-Nya.

Jadi, perkara di atas adalah dari sebab atau kerana-Nya yang satu. Tujuannya hanya satu, dan didorong oleh yang satu iaitu Allah. Mengabdikan diri kerana Allah dan tidak dicampur atau bercampur selain Allah. Itulah ikhlas, dorongannya hanya satu.

Sekiranya niat atau dorongannya telah tercampur atau terselit niat-niat yang lain selain Allah seperti riak, megah, glamor, pangkat, takut orang tidak suka, undi, uji kemampuan, hendak berlawan, hendakkan piala, hadiah, kerana kawan - maka keikhlasannya telah ternoda.

Untuk ikhlas, sebenarnya amat susah sekali terutama yang ada kaitan kepentingan umum atau orang ramai yakni yang terdedah kepada pandangan umum seperti berdakwah, mengajar, gotong-royong, forum, upacara memberi hadiah - lebih-lebih lagi orang yang tidak memikirkan hati lalu hati dibiar dan terbiar.

Maka, jangan sesekali bertanyakan atau berprasangka tentang ikhlasnya seseorang itu. Ianya boleh dilihat jika kita benar-benar jauh daripada sifat buruk sangka terhadap sesuatu yang dilakukan. Nilailah dengan mata dan hati. Sesungguhnya Allah yang lebih berhak menentukan ikhlas itu.

Manusia belajar daripada kesilapan. Janganlah terus menghukum seseorang itu atas sebab-sebab tidak mahu dia mengulangi kesilapan. Jika Allah mampu untuk memaafkan dosa setiap hamba-Nya yang memohon keampunan. Siapa kita di sisi Allah yang sememangnya kita jauh kecil berbanding Maha Besar. Terima dan akui kelemahan manusia. Beri peluang untuk mereka berubah dan belajar sesuatu.

Kalau ingin dimaafkan, belajarlah untuk memaafkan.

Kalau ingin dihormati, belajarlah untuk menghormati.

Kalau ingin difahami, belajarlah untuk memahami.

Kalau ingin disedari, belajarlah untuk menyedari.

Kalau ingin disayangi, belajarlah untuk menyayangi.

Kalau ingin dikasihi, belajarlah untuk mengasihi.

Kalau ingin diterima, belajarlah untuk menerima.

Kalau ingin dihargai, belajarlah untuk menghargai.

Kalau ingin disenangi, belajarlah untuk menyenangi.

Bukan orang lain yang perlu berubah mengikut kehendak kita tetapi kitalah yang sebenarnya perlu mengubah diri kita.

Memuaskan hati semua orang itu tidak mudah tetapi berubah untuk memuaskan hati semua orang itu tidak mustahil.

Bak kata pepatah, di mana ada kemahuan di situ pasti ada jalan. InsyaAllah Dia akan permudahkan.

Ingat Allah S.W.T pernah berfirman dalam ayat-Nya ;

“Wahai manusia, sesungguhnya Kami menciptakan kalian dari laki-laki dan perempuan, dan Kami menjadikan kalian berbangsa-bangsa dan bersuku-suku agar saling mengenal. Sesungguhnya orang yang paling mulia diantara kalian adalah orang yang paling bertaqwa di sisi Allah. “[al-Hujurat:13].

Maka, dunia ini dicipta hanya untuk persinggahan sebelum menuju ke alam akhirat. Maka persiapkan diri dan laksanakan perintah-Nya serta menjauhi larangan-Nya agar perolah kebahagiaan dunia dan akhirat.

Mungkin pengetahuan kalian sudah mengerti akan tujuan dan perkara-perkara yang perlu untuk menjamin kita memperolehi Syurga di akhirat kelak. Anggaplah ini sebahagian yang kecil untuk saling memperingati. Diri ini terlalu kecil dan berbakul-bakul dosa yang dipikul.

Alhamdulillah. Terima kasih kerana setia akan pembacaan hingga noktah yang terakhir. Moga diberkati Allah senantiasa. Amin.

Sekalung permohonan maaf jika ada kesilapan.

Wasalam.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...