Mengira Hari Usia Belog

Daisypath Happy Birthday tickers

January 28, 2012

Pementasan Teater Babak Terakhir pada Februari ini di IPG KBM


“Babak Terakhir” bakal menjadi pementasan teater yang sulung buat Institut Pendidikan Guru Kampus Bahasa Melayu (IPG KBM) pada tahun 2012. Sebelum ini hanya teater kanak-kanak sahaja yang dipentaskan di Institut ini untuk memenuhi Kursus Kebudayaan dan Kesusasteraan Melayu bagi subjek Teater Dalam Pendidikan semasa menduduki semester 6 Program Ijazah Sarjana Muda Perguruan(PISMP). Kali ini atas inisiatif pelajarnya sendiri, teater ini bakal dipentaskan untuk tatapan umum.

Teater ini berkonsepkan gabungan beberapa jenis teater yang dihimpunkan menjadi satu persembahan yang lengkap berdasarkan pengamatan dan pengalaman pengarah selama menjadi penonton dan peminat teater.

Naskhah “Babak Terakhir” ini cuba menyelusuri lakonan manusia dalam satu EPISOD yang dijalani dari latar ke latar tanpa menyedari pelbagai peristiwa yang berlaku di sekeliling mereka adalah untuk EPISOD yang seterusnya. Malah ada tindakan yang dilakukan oleh mereka seperti tidak sedar akan tujuan asal kewujudan CERITA ini. Walaupun jalan ceritanya hampir tamat untuk episod ini, pelakonnya masih lagi tidak mempedulikannya malah mereka terus hidup dengan nafsu yang makin membesar untuk memenuhi tuntutan cerita.

Manusia merupakan pelakon dalam cerita atau kehidupan yang diciptakan oleh Maha Pencipta. Dalam CERITA ini terdapat beberapa episod yang tertentu sebelum ke episod yang terakhir. Sekarang manusia dalam episod dunia yang sementara dan berada di babak yang terakhir iaitu dunia akhir zaman.

Dalam dunia akhir zaman ini telah berlaku banyak perkara yang berlaku di sekeliling kita dan manusia terus alpa untuk mengejar tuntutan dunia daripada mencari bekalan yang sepatutnya sebelum ke akhirat kelak. Manusia terus bernafsu untuk hidup dalam ilusi yang sementara ini dan lupa dan buat-buat tidak sedar akan ada kehidupan yang kekal yang perlu diberi perhatian.

Pementasan ini mengupas permasalahan dan sikap-sikap manusia akhir zaman yang semakin meruncing dan tanda-tanda kiamat yang sudah kelihatan yang membimbangkan masyarakat secara amnya. Dalam menyentuh aspek-aspek konflik dan sikap manusia akhir zaman ini seperti yang pernah diberitahukan oleh Hadis Nabi Muhammad S.A.W akan membuatkan penonton berfikir dan mengimbau semula kealpaan mereka dan seterusnya dapat tahu serba sedikit perkara yang harus dilakukan daripada terus hanyut.

“Babak Terakhir” tidak menggunakan pelakon atau artis luar untuk menjayakan pementasan sebaliknya membariskan 100% tenaga pelajar IPG KBM daripada tahun 2 dan tahun 3 untuk sama-sama mencari sesuatu yang baharu dan mengeksperimen kemampuan diri sendiri.

Teater “Babak Terakhir” akan dipentaskan di Dewan Tun Sri Lanang, Institut Pendidikan Guru Kampus Bahasa Melayu, Jalan Pantai Endah, 59990 Kuala Lumpur (bersebelahan dengan Stadium Hoki Kuala Lumpur atau pintu masuk Lembah Pantai, Universiti Malaya) pada 27 hingga 29 Februari 2012. Masuk adalah percuma.

1 comment:

  1. tak sure lah dtg or tak..... hmmmmm..
    tp mengharap gak ni pg.

    ReplyDelete

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...