Mengira Hari Usia Belog

Daisypath Happy Birthday tickers

December 30, 2010

Aku.Disember.Harimau Malaya.Kisah.

Assalamualaikum.

630 Minit. Tidak termasuk masa kecederaan.Lebih kurang tolak tambah 700 minit aku melaburkan masa aku untuk menyaksikan perlawanan bola sepak Malaysia sepanjang kempen Piala Suzuki AFF 2010 kali ini. Tidak termasuk juga masa menghadap peti televisyen mengemaskini perkembangan pasukan bola sepak kebangsaan. Perlawanan persahabatan mereka. Semestinya pelaburan masa aku untuk Bulan Disember ini menghasilkan dividen serta bonus yang menguntungkan aku serta rakyat Malaysia. Tak perlu aku mengulangi apa ayat-ayat kejayaan yang mungkin menjadi bualan seluruh rakyat Malaysia dan segelintir masyarakat dunia. Rio Ferdinand pun mengucapkan Tahniah.

Sebelum bermulanya cuti semester, aku tertanya-tanya apa hobi aku iaitu menyibukkan diri walaupun tak sibuk seperti kata rakan-rakan ku sepanjang bulan Disember 2010. Kerja? Mohon tiga tempat, McD, Pizza dan Old Town. Pun xditerima, kelayakan SPM aku tidak menarik minat mereka. Kewangan perlu diraih untuk menampung kehidupan bulan Disember. Khabar angin mengatakan elaun tidak masuk. Kering. Alhamdulillah. 1 Disember 2010 maka bertebaranlah umat mencari rezeki di akaun BSN.

Mukaddimah yang amat ringkas di atas. Kita masuk ke topik utama. MALAYSIA JUARA PIALA SUZUKI AFF 2010. Selepas menjadi pengemaskini perkembangan kontinjen Malaysia di Sukan Asia. Kini tumpuanku terarah kepada Kejohanan dwi tahunan ini. Maka ada juga benda yang ingin disibukkan. Kekalahan 5-1 Malaysia kepada Indonesia menyebabkan aku ditimpa demam. Hebat kuasa bola sepak namun tidak boleh menandingi kuasa-Nya. Ditambah dengan rahsia yang penuh resipi disimpankan seseorang, mengurangkan lagi imuniti aku. Namun terubat jua tatkala bersua 2 jam tanpa menatap wajah. Alhamdulillah.

Ini sudah lari topic pula. Tidak mengapa, memang tabiat saya merepek akan benda yang benar dan fakta. Semuanya berkait rapat. Terpulang buat mereka yang dapat merungkaikannya. Apa isi yang ingin disampaikan dalam penulisan kali ini masih belum tiba saat ini. Sekadar menggerakkan jari yang tercetus dari pemikiran, bukan dari Nur Qalbuku. Kejap.

Kembali ke landasan. Kemenangan skuad Negara sememangnya membanggakan. Permainan yang semakin lama semakin meyakinkan membuatkan kita teruja menyaksikannya. Sejak Sukan SEA Laos 2009 lagi skuad yang sama diturunkan, seterusnya Sukan Asia dan baru-baru ini AFF Suzuki. Pengalaman adalah guru yang cukup baik untuk seseorang. Biar kita menelan pahitnya kekalahan daripada terus mengakui kegagalan. Sememangnya pelan yang digunakan FAM berjaya. Bentuk skuad Negara dari Muda. Maka lahirnya Harimau Muda. Seterusnya mereka yang bagus di serapkan ke Skuad Senior Negara. Maka Ketua Jurulatih Negara tidak pening kepala memikirkan pengganti2 mereka yang sudah tamat tempoh dan tidak layak kerana MALAS, TAK SEDAR DIRI dan sebagainya. Mereka yang terlibat secara langsung dalam arena bola sepak pasti tahu akan gejala2 yang kurang baik dalam kalangan pemain bola sepak yang akhirnya memakan diri sendiri serta memakan kakinya.

Sukan menyatukan rakyat. Benar. Tidak dapat dinafikan. Walaupun majoritinya peminat-peminat bola sepak Negara adalah Melayu. Namun, ada juga sebilangan masyarakat lain yang turut serta memberi sokongan. Siapa yang pernah menyaksikannya, bagus. Yang tidak pernah Nampak itu, maka carilah ia di pelusuk Negara ok. Pasti ketemukannya. Jika bola sepak majoritinya pemain Melayu, ada juga India, Penolong Jurulatihnya Cina. Tidak ada bezanya, seperti contoh, walaupun sukan badminton dikuasai kaum Cina. Namun, Satu Malaysia tetap menyaksikannya dan menyokongnya. Tidak kisah permainan berasaskan satu-satu kaum, namun terdapat juga elemen 1Malaysia di dalamnya. Ayat Najib pula.

Kematangan. Rakyat Malaysia boleh dikatakan semakin matang, tidak sia-sia dasar kerajaan yang meuar-uarkan pembelajaran sepanjang hayat dan tanpa mengira kedudukan. Pemikiran Kelas Pertama semakin hampir, namun seperti biasa, setiap perkara ada ketidaksempurnyaannya. Ada juga yang masih BODOH(mereka tidak tahu apa yang kita tahu). Kita boleh lihat di melalui perspektif bola sepak tanah tumpah darahku. Penyokong sudah menerima apa itu sebenar permainan dan taktikal. Bukannya selalu melenting apabila main tidak cantiklah dan lain-lain lagi. Mungkin sudah terpengaruh dengan permainan yang ditonjolkan di EPL barangkali. Sikap professional penontonnya boleh di contohi. Bangga menjadi sebahagian lautan kuning di Bukit Jalil. Namun, jangan pula sindrom bila menang baru hendak mengaku pernyokong bola sepak kebangsaan. Jadilah penyokong susah mati Harimau Malaya. Turun naik adalah adat kehidupan. Kita perlu berada di belakang mereka setiap masa agar dapat menyuntik keyakinan dan semangat juang yang tinggi.

Tatkala menulis ulasan kali ini, aku juga menyaksikan ulasan yang telah diberikan seseorang, seperti biasa beliau seakan tahu-tahu sahaja apa yang ingin disampaikan oleh aku, namun dia lebih pantas daripada aku.haha. maka tidak perlu memplagiat isi-isi penting.daripada kalian menuruti bait-bait kata yang tidak ada penghujung ini maka, dialu-alukan untuk melihat isi yang akan sama jika ditulis di sini di link yang tertera di bawah ini.

klik sebelah ini -> sisa-sisa terindah Malaysia Juara AFF

Walaupun tidak terlalu banyak patah kata yang digunakan beliau berbanding aku. Namun, isinya jelas dan bermakna. isu yang sama juga akan dikupas oleh ku jika meneruskan bait kata di bawah ini.maka langkah bijak akan ku ambil agar menjimatkan kerahan jari dan penyeksaan mata pembaca. Kepada individu berkenaan jangan khuatir kerana tiada caj perkhidmatan promosi blog dikenakan.haha.Aman.

Sekian.Terima Kasih.

MAJULAH SUKAN UNTUK NEGARA DAN DIRI SENDIRI.

Wassalam.


someone in Malaysia Football Stream wannabe..=)


antara langkah menuju kegemilangan


Nike Malaysia Private Viewing Party at Padang@1Utama

perlawanan belum bermula dan penjajahan kawasan juga belum dilancarkan


December 20, 2010

Lebih Baik Sesat daripada Takut Mencari-Nya.Cinta!

Assalamualaikum

Alhamdulillah, berkat kekuasaan Maha Pencipta aku kembali menyusun kata, merungkai bicara untuk dikongsi bersama teman-teman yang tidak pernah jemu melawat blog ini. terima kasih diucapkan dan semoga terus diberkati oleh-Nya.

Tatkala hati dari nur kalbu ini merisik agar menulis sesuatu ini terdetik di atas motosikal dalam perjalanan pulang setelah selesai menyaksikan persembahan teater untuk penilaian tahun akhir pelajar ijazah sarjana muda ASWARA atau dikenali sebagai PeTA. Ini bukanlah kali pertama aku menyaksikan persembahan penilaian di sana, walaupun aku bukanlah pelajar ASWARA, namun punya juga kenalan-kenalan yang lebih senior daripada aku.Majoritinya dari Fakulti Tari.Insan yang membawa aku mengenali ASWARA ini ialah koreografer yg meningkat naik kini, Abg Akmal Ayob. Daripada dia aku kenal apa itu persembahan di sekolah menengah dahulu. Penilaian Tari semestinya aku hadir dan ianya sudah berlalu. Aku tidak mampu untuk mengulas tentang persembahan tarian yang ditonjolkan. Dengan tari ia mengajak kita berfikir dengan lebih dalam.Tatabahasa tari mudah difahami buat mereka yang mempelajarinya, aku?hanya mampu menangkap sedikit terjemahan daripada gerak yang ditarikan.

Tidak mengapa, mungkin kalian sukar mengerti maksud yang aku kemukakan di atas. Buat mereka yang pernah menyaksikan persembahan seperti maksudku di atas, pasti mengerti dan tahu akan keseronokan serta kadangkala membenakkan minda. Oleh sebab itu, aku sentiasa keseorangan apabila melihat persembahan2 yang tidak menyeronokkan ini. segelintir rakan yang hanya mampu mengikutiku, jika yang ada pun, mereka-mereka yang jauh lebih tua daripada aku dan tidak terlalu rapat. Segan jugak kalau nak melepak bersama, siapa aku disamping insan-insan hebat seperti mereka.Bagi aku, lagi banyak persembahan atau hiburan yang mampu membuat aku terdidik, lagi memberikan keseronokan kepadaku. Boleh dikatakan aku mungkin tersalah jurusan kerana meminati unsur-unsur hiburan ini. Bukannya hiburan yang sesetengah menganggapnya sekadar untuk berhibur, malah hiburan adalah untuk mendidik. Filem-filem yang boleh dianggap bodoh juga aku tonton, sebab perkara yang aku suka lakukan adalah mencari.

Tentang teater yang aku saksikan bertajuk “Perempuan-perempuan Seorang Wali”.Alhamdulillah aku diberi kekuatan untuk menyaksikannya walau dalam keadaan demam. Namun, kuasa-Nya tidak dapat diduga. Mungkin aku melihat maklumat tentang teater ini yang mengatakan bahawa karya diadaptasi daripada kisah wali-wali Allah dan Nabi membuatkan aku tertarik untuk menyaksikannya. Mungkin ada sesuatu yang akan aku perolehi daripada persembahan ini. Teater memanusiakan manusia. Walaupun pada mulanya dan pertengahannya persembahan sarat dengan nyanyian kadangkala melelahkan pemikiran aku, namun tidak dapat dinafikan impak setelah selesai menyaksikan teater ini. Mungkin cara pengarah menyaratkan unsur nyanyian dalam persembahan adalah untuk membuatkan penonton ternanti-nanti apa kesudahan persembahan ini.

Seperti yang dijangkakan, teater yang baik adalah yang mampu membuatkan orang berfikir. Banyak sebenarnya persoalan yang terbit dari teater ini buat mereka yang memahaminya. Salah satunya adalah seperti tajuk entry aku kali ini, Lebih Baik Sesat daripada Takut Mencari, Sudahkan Kalian Miliki Cinta?

Bijak sebenarnya kata-kata itu, mampu membuat aku berfikir kembali akan perjalanan hidup aku sebagai seorang insan bernama Hamba Allah. Sesat bermakna kita pernah terpesong atau condong daripada ajaran yg betul. Takut boleh dimaksudkan, takut kerana terus terpesong lalu takut mencari jalan pulang. Cinta yang dimaksudkan adalah Cinta kepada Kekasih kita yang utama, Allah S.W.T.

Adakah kita sudah memilikinya, buat mereka yang sesat pasti mahu mencarinya dan ada juga takut dan terus tersesat. Bagi aku semua insan pernah sesat, di sana merupakan kasih Allah kepada kita agar kita mencari cahayanya. Namun, tidak semestinya mereka yang berada di atas landasan yang betul cukup menjamin mendapat cinta daripada-Nya agar dapat menghuni taman-taman syurga di akhirat kelak. Adakah dengan solat 5 waktu tanpa gagal, membaca ayat-ayat suci Al-Quran, membayar zakat, berpuasa, berzikir bertahmid cukup?mungkin ada dalam kalangan mampu melaksanakannya sekadarnya, Alhamdulilah. Better do than never. Namun, cuba kita renung kembali hubungan kita dengan saudara-saudara Islam atau bukan Islam di muka bumi ini, baik tutur kata, perbuatan dan sebagainya. Baik atau buruk?Harta-harta kita adakah digunakan di tempat yang betul, sepatutnya serta di jalan Allah?Banyak lagi yang boleh kita renungkan, segalanya kita boleh terokai di User Guide Book Paling Agung yakni Al Quran. Aku bukanlah alim ulama atau pelajar jurusan agama yang mampu mengulas selanjutnya tentang kandungan-kandungan Kalamullah ini. Namun, apa yang aku dapat dari situ aku kongsikan bersama.

Tujuan aku menulis kali ini adalah untuk mengajak dan membuat aku dan kita berfikir kembali akan tujuan sebenar kehidupan kita di dunia yang fana ini. Bukannya hendak mengubah persepsi kalian dan membuatkan anda semua berubah. Hidayah adalah milik Allah. Aku insan yang biasa tidak mampu membuat apa-apa. Makin lama aku rasakan diri aku ini terlalu kecil. Banyak yang perlu dilakukan untuk terus mengutip mata ganjaran untuk hari pembalasan kelak.

Buat mereka yang sesat dan sedang mencari, jangan berputus asa. Yang sesat dan masih gelap tanpa cahaya, sememangnya akan ada peluang untuk kita daripada-Nya, namun kita yang perlu menyalakannya sendiri kerana ia ibarat menyalakan mancis yang hanya tinggal sebatang. Manakala, mereka yang sudah di kawasan yang betul, jangan terlalu senang akan perbuatan kita selama ini. Semakin kita beriman semakin kuat kita digoncang dengan ujian Allah. Teruslah mencari agar terus memantapkan kubu pertahanan Iman kita agar tidak tergelincir.

Cukup rasanya aku menyeksa mata kalian dengan patah kata yang berjela ini. Mungkin sekadar ini sahaja kata-kata yang aku harap agar mencetuskan persoalan di fikiran kalian. Maaf sekiranya ada kesilapan. Teruskanlah mencari Cinta. Cinta yg mana yang kalian utamakan?tidak dapat dinafikan Cinta Manusia itu perlu kerana ia adalah anugerah daripada-Nya juga.Namun, jangan pula melebihi cinta yang lain daripada cinta kepada-Nya.

Sekian. Terima kasih buat mereka yang setia.

Wassalam.


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...