Mengira Hari Usia Belog

Daisypath Happy Birthday tickers

December 20, 2010

Lebih Baik Sesat daripada Takut Mencari-Nya.Cinta!

Assalamualaikum

Alhamdulillah, berkat kekuasaan Maha Pencipta aku kembali menyusun kata, merungkai bicara untuk dikongsi bersama teman-teman yang tidak pernah jemu melawat blog ini. terima kasih diucapkan dan semoga terus diberkati oleh-Nya.

Tatkala hati dari nur kalbu ini merisik agar menulis sesuatu ini terdetik di atas motosikal dalam perjalanan pulang setelah selesai menyaksikan persembahan teater untuk penilaian tahun akhir pelajar ijazah sarjana muda ASWARA atau dikenali sebagai PeTA. Ini bukanlah kali pertama aku menyaksikan persembahan penilaian di sana, walaupun aku bukanlah pelajar ASWARA, namun punya juga kenalan-kenalan yang lebih senior daripada aku.Majoritinya dari Fakulti Tari.Insan yang membawa aku mengenali ASWARA ini ialah koreografer yg meningkat naik kini, Abg Akmal Ayob. Daripada dia aku kenal apa itu persembahan di sekolah menengah dahulu. Penilaian Tari semestinya aku hadir dan ianya sudah berlalu. Aku tidak mampu untuk mengulas tentang persembahan tarian yang ditonjolkan. Dengan tari ia mengajak kita berfikir dengan lebih dalam.Tatabahasa tari mudah difahami buat mereka yang mempelajarinya, aku?hanya mampu menangkap sedikit terjemahan daripada gerak yang ditarikan.

Tidak mengapa, mungkin kalian sukar mengerti maksud yang aku kemukakan di atas. Buat mereka yang pernah menyaksikan persembahan seperti maksudku di atas, pasti mengerti dan tahu akan keseronokan serta kadangkala membenakkan minda. Oleh sebab itu, aku sentiasa keseorangan apabila melihat persembahan2 yang tidak menyeronokkan ini. segelintir rakan yang hanya mampu mengikutiku, jika yang ada pun, mereka-mereka yang jauh lebih tua daripada aku dan tidak terlalu rapat. Segan jugak kalau nak melepak bersama, siapa aku disamping insan-insan hebat seperti mereka.Bagi aku, lagi banyak persembahan atau hiburan yang mampu membuat aku terdidik, lagi memberikan keseronokan kepadaku. Boleh dikatakan aku mungkin tersalah jurusan kerana meminati unsur-unsur hiburan ini. Bukannya hiburan yang sesetengah menganggapnya sekadar untuk berhibur, malah hiburan adalah untuk mendidik. Filem-filem yang boleh dianggap bodoh juga aku tonton, sebab perkara yang aku suka lakukan adalah mencari.

Tentang teater yang aku saksikan bertajuk “Perempuan-perempuan Seorang Wali”.Alhamdulillah aku diberi kekuatan untuk menyaksikannya walau dalam keadaan demam. Namun, kuasa-Nya tidak dapat diduga. Mungkin aku melihat maklumat tentang teater ini yang mengatakan bahawa karya diadaptasi daripada kisah wali-wali Allah dan Nabi membuatkan aku tertarik untuk menyaksikannya. Mungkin ada sesuatu yang akan aku perolehi daripada persembahan ini. Teater memanusiakan manusia. Walaupun pada mulanya dan pertengahannya persembahan sarat dengan nyanyian kadangkala melelahkan pemikiran aku, namun tidak dapat dinafikan impak setelah selesai menyaksikan teater ini. Mungkin cara pengarah menyaratkan unsur nyanyian dalam persembahan adalah untuk membuatkan penonton ternanti-nanti apa kesudahan persembahan ini.

Seperti yang dijangkakan, teater yang baik adalah yang mampu membuatkan orang berfikir. Banyak sebenarnya persoalan yang terbit dari teater ini buat mereka yang memahaminya. Salah satunya adalah seperti tajuk entry aku kali ini, Lebih Baik Sesat daripada Takut Mencari, Sudahkan Kalian Miliki Cinta?

Bijak sebenarnya kata-kata itu, mampu membuat aku berfikir kembali akan perjalanan hidup aku sebagai seorang insan bernama Hamba Allah. Sesat bermakna kita pernah terpesong atau condong daripada ajaran yg betul. Takut boleh dimaksudkan, takut kerana terus terpesong lalu takut mencari jalan pulang. Cinta yang dimaksudkan adalah Cinta kepada Kekasih kita yang utama, Allah S.W.T.

Adakah kita sudah memilikinya, buat mereka yang sesat pasti mahu mencarinya dan ada juga takut dan terus tersesat. Bagi aku semua insan pernah sesat, di sana merupakan kasih Allah kepada kita agar kita mencari cahayanya. Namun, tidak semestinya mereka yang berada di atas landasan yang betul cukup menjamin mendapat cinta daripada-Nya agar dapat menghuni taman-taman syurga di akhirat kelak. Adakah dengan solat 5 waktu tanpa gagal, membaca ayat-ayat suci Al-Quran, membayar zakat, berpuasa, berzikir bertahmid cukup?mungkin ada dalam kalangan mampu melaksanakannya sekadarnya, Alhamdulilah. Better do than never. Namun, cuba kita renung kembali hubungan kita dengan saudara-saudara Islam atau bukan Islam di muka bumi ini, baik tutur kata, perbuatan dan sebagainya. Baik atau buruk?Harta-harta kita adakah digunakan di tempat yang betul, sepatutnya serta di jalan Allah?Banyak lagi yang boleh kita renungkan, segalanya kita boleh terokai di User Guide Book Paling Agung yakni Al Quran. Aku bukanlah alim ulama atau pelajar jurusan agama yang mampu mengulas selanjutnya tentang kandungan-kandungan Kalamullah ini. Namun, apa yang aku dapat dari situ aku kongsikan bersama.

Tujuan aku menulis kali ini adalah untuk mengajak dan membuat aku dan kita berfikir kembali akan tujuan sebenar kehidupan kita di dunia yang fana ini. Bukannya hendak mengubah persepsi kalian dan membuatkan anda semua berubah. Hidayah adalah milik Allah. Aku insan yang biasa tidak mampu membuat apa-apa. Makin lama aku rasakan diri aku ini terlalu kecil. Banyak yang perlu dilakukan untuk terus mengutip mata ganjaran untuk hari pembalasan kelak.

Buat mereka yang sesat dan sedang mencari, jangan berputus asa. Yang sesat dan masih gelap tanpa cahaya, sememangnya akan ada peluang untuk kita daripada-Nya, namun kita yang perlu menyalakannya sendiri kerana ia ibarat menyalakan mancis yang hanya tinggal sebatang. Manakala, mereka yang sudah di kawasan yang betul, jangan terlalu senang akan perbuatan kita selama ini. Semakin kita beriman semakin kuat kita digoncang dengan ujian Allah. Teruslah mencari agar terus memantapkan kubu pertahanan Iman kita agar tidak tergelincir.

Cukup rasanya aku menyeksa mata kalian dengan patah kata yang berjela ini. Mungkin sekadar ini sahaja kata-kata yang aku harap agar mencetuskan persoalan di fikiran kalian. Maaf sekiranya ada kesilapan. Teruskanlah mencari Cinta. Cinta yg mana yang kalian utamakan?tidak dapat dinafikan Cinta Manusia itu perlu kerana ia adalah anugerah daripada-Nya juga.Namun, jangan pula melebihi cinta yang lain daripada cinta kepada-Nya.

Sekian. Terima kasih buat mereka yang setia.

Wassalam.


No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...